Akudanmayapada

Sidang Rimba Harapan!

July 15, 2008 · 1 Comment

Sudah beberapa kali aku memaksa-maksakan diriku untuk mengikuti sidang parlimen di daerah ini.Sudah beberapa kali juga aku gagal untuk mengikutinya sampai tuntas.Agaknya benarlah kata orang-orang tua, pekerjaan yang dibuat tanpa hati dan jiwa tidak akan kemana. Atas saranan beberapa orang kenalan, aku akhirnya berjaya memaksa diri untuk mengikuti sidang tersebut pada hari Isnin yang lalu.Entah di mana silapnya aku tidak berjaya memujuk hatiku untuk mengatakan bahawa kita berada di lembah bertamadun. Kedua-dua belah pihak yang berada di dalam parlimen yang selalu disebut-sebut mulia itu hanya menghabiskan masa untuk menunjukkan kepetahan mereka berbahas dan bertengkar dengan rima dan ritma rimba.Sarung otaknya tertinggal entah di mana. Semuanya mahu menegakkan pendapat dan langsung tidak mahu menggunakan jalur akal homo sapien yang duduk di bawah langit ketamadunan. Hasilnya, apa yang aku dapat lihat hanyalah sarkas-sarkas rimba yang melompat-lompat dan memekik-mekik tanpa tujuan dan membuang terus nilai ketimuran,sopan silu masyarakat yang dipayungi Islam Hadhari.Agaknya Islam Hadari itupun tidak pernah bermukim di hati kerana mereka hanya mengenalnya sebagai suatu bentuk slogan semata-mata. Kini benarlah kata-kata Dr.Engku Aziz bahawa orang yang selalu mencipta slogan demi slogan akan tumpul akalnya.Satu pihak lagi,semua perkara mahu dibangkang walaupun belum lagi mendengar penjelasan terperinci pihak yang lain. Macam mana mahu tahu dengan tepat sekiranya pihak yang mahu memberitahu tidak diberi peluang. Apa yang aku dapat lihat kesamaan kedua-dua pihak ini hanya satu, kedua-duanya mahu berlagak jaguh. Apa yang mereka tidak tahu atau tidak sedar ialah, rakyat mahu melihat perbahasan terhadap sesuatu isu yang benar-benar bermanfaat terhadap rakyat terbanyak dan bukan rakyat kecil yang mewakili golongan yang berkepentingan. Paling kelakar, ada seorang ahli parlimen yang menyatakan bahawa kaum petani dan pesawah bukan lagi golongan miskin.Katanya, harga padi, getah dan kelapa sawit sudah melambung .Beliau menyatakan bahawa harga getah sekarang RM10 sekilogram. Apa yang kurang cerdiknya ialah, harga yang beliau sebut itu adalah harga di peringkat atasan. Adakah sebesar itu yang diperoleh oleh pekebun getah dan petani? Lain kali kalau mahu memberikan fakta tentang rakyat bawahan,pastikan data adalah bertepatan dengan rakyat bawahan dan bukan merujuk kepada pendapatan sahabat-sabahat kalian di atas sana. Inilah yang menyebabkan aku bosan mendengar penjelasan yang nampak beria-ia dan berfakta tetapi hakikatnya hanya indah khabar dari rupa. Atas dasar inilah aku namakan sidang mereka ini sebagai sidang rimba harapan.Bahasa yang mereka gunakan ketika berbahas adalah standard kanak-kanak tadika yang sedang diajar berbudi bahasa oleh guru-guru dan ibu bapa mereka. Bezanya ialah, kanak-kanak tadika tadi mengeluarkan kata-kata kesat dan mencarut atas dasar mengulangi perkataan yang didengar dan tidak mengetahui dengan pasti apa yang mereka sebut dan tidak memaksudkan kata-kata mereka dan tetapi ahli-ahli parlimen yang hampir senja usianya ini bukannya tidak mengetahui apa yang mereka sebut tetapi jelas mereka menggunakannya atas saranan emosi dan niat jahat dari dalam kalbu. Sepatutnya kalau mereka ini berpaksikan akal dan iman pada segala tindakan, mereka akan berbahas dalam suasana yang bertolak ansur,berhemah dan menunjukkan kematangan bagi mewakili harapan rakyat terbanyak.Aku sendiri berasa menyesal memilih sebahagian daripada mereka ini kerana kerap kali mereka tidak bercakap mewakili kawasan rakyat yang memilih mereka tetapi lebih kepada perkara-perkara umum.Sepatutnya ahli parlimen lebih menumpukan isu-isu yang berkaitan kawasan parlimen yang diwakili kerana rakyat di kawasan itu yang memilih mereka.Kawasan orang lain, bukankah sudah ada wakilnya? Kepada ahli-ahli YB kedua-dua belah pihak di luar sana, aku ingin berpesan, tumpukan perhatian kalian dengan lebih fokus apakah peranan anda.Adakah anda diberi peranan untuk berlagak sebagai warga rimba atau mewaikili warga manusia? Fikir-fikirkanlah.

 

→ 1 CommentCategories: Kritis Sinis

Alkisah Si Palit

July 8, 2008 · 1 Comment

Daerah kami yang selalu digembar-gemburkan sebagai daerah selamat, aman dan makmur ini tiba-tiba bergempa kembali. Haru-biru sana-sini. Serabut betul kalau semua perkara ini disimpan dan dianalisis dalam kotak fikir. Gumpalan serabut ini sekiranya dibiarkan bersarang dalam kawah hati akan menyebabkan kerosakan tahap ketujuh pada hati homo sapien yang bermukim di sini. Beberapa purnama dulu, serabut karut-marut ini hanyalah gumpalan-gumpalan kecil yang kemudiannya berpintal-pintal membentuk gumpalan serabut yang besar dan pejal. Haru-biru kali ini khabarnya adalah disebabkan oleh si anak muda yang dipanggil Si Palit oleh kebanyakan warga di daerah ini. Si Palit ini muncul secara tiba-tiba sahaja. Namun kemunculannya yang secara tiba-tiba itulah yang menerbitkan tsunami dalam daerah kami ini. Tsunami yang dibawanya lebih hebat daripada tsunami alam yang pernah mengorbankan ratusan nyawa di sini.Ini tsunami yang benar-benar hidup dan rakus.Si Palit telah membuat satu laporan yang membawa aib kepada bekas Penghulu daerah ini. Mengikut kata Si Tangan Satu, rakanku yang kudung itu, Si Palit ini kononnya telah diperlakukan sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat yang ditelah bumi dulu. Khabarnya perbuatan songsang telah dilakukan oleh bekas Penghulu daerah ini, di satu tempat di atas bukit. Kami sendiri tidak tahu dengan pasti di mana tempat yang tepatnya. Tuduhan itu pula telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh bekas Penghulu daerah ini atas alasan semua tuduhan itu adalah konspirasi pihak kayangan.Maka para penduduk di daerah kami ini pun berbelah pendapat. Ada yang menyatakan bahawa tuduhan Si Palit adalah publisiti murahan yang semata-mata bertujuan mengaibkan bekas Penghulu. Kata mereka lagi, keaiban ini dicipta supaya bekas Penghulu tidak dapat kembali bertanding merebut jawatan lamanya atau bertanding merebut jawatan Betara Sakti di puncak kayangan. Maka kata mereka, ini merupakan konspirasi yang kedua, yakni sama dengan tuduhan beberapa tahun dahulu. Jadi, mereka mengambil keputusan untuk memekakkan telinga dan menyokong bekas Penghulu. Khabarnya, mereka akan berdiri teguh di belakang bekas Penghulu. Kumpulan kedua pula berpendapat, tuduhan ke atas bekas Penghulu adalah tuduhan benar dan bukan direka-reka. Mereka menganggap laporan Si Palit bukan dibuat atas arahan sesiapa tetapi adalah kerana mengumpul kembali maruah dirinya yang terbang selepas peristiwa hitam itu. Mereka menganggap bahawa bekas Penghulu memang rosak akhlaknya dan tidak dapat diperbaik lagi. Jadi, mereka mengambil keputusan berdiri teguh di belakang cerita dan bayangan Si Palit. Kelompok ketiga kelihatan lebih berakal kerana memilih untuk tidak membuat pilihan antara Si Palit dan bekas Penghulu. Mereka lebih mahu perkara tersebut dilepaskan kepada pihak yang berkuasa untuk menyiasat dan membenarkan pihak timbang tara yang diberi kuasa untuk mengadilinya. Pihak ini beranggapan bahawa kebenaran akan terbongkar akhirnya.Sedaya upaya mereka cuba untuk mempercayai bahawa pihak keadilan yang dulu agak tercemar reputasi dan kebolehpercayaan terhadapnya akan berubah kerana pihak tertinggi di kayangan iaitu Betara Sakti telah memberi sumpah bahawa menara keadilan tidak akan diganggu dan loceng keadilan akan berbunyi setiap kali keadilan dilaksanakan. Satu pihak lagi, yang juga menganggap diri mereka berkecuali telah meminta Si Palit dan bekas Penghulu supaya membuat sunpah laknat atau bermubahalah. Kata mereka, berani kerana benar. Kebanyakan penduduk di daerah ini juga agaknya tertunggu-tunggu bilakah sumpah laknat ini akan diadakan. Jika salah satu pihak tidak mahu berbuat sumpah laknat, adakah secara terang-terang mereka telah bersalah? Sekiranya sumpah laknat ini menerbitkan kesan segera, agaknya eloklah disegerakan.Minta betul-betul kepada Tuhan supaya tunjukkan pembalasannya di atas muka bumi ini lagi. Cuma satu sahaja yang agak sukar dipastikan iaitu adalah kedua-dua pihak akan menerima kekalahan mereka secara ‘budiman’ atau selepas itu terus pula mereka alasan-alasan yang lain.Pihak yang keempat itu tadi juga mencadangkan bahawa penggunaan empat saksi secara Islam juga tidak praktikal kerana kata ketua mereka, lakuan songsang itu berlaku di tempat yang tersembunyi dan hanya ada dua pihak sahaja.Jadi katanya, mencari empat orang saksi tentulah sukar. Katanya, mana ada orang melakukan perbuatan songsang secara terang-terangan di tempat terbuka yang dapat dilihat orang kebanyakan. Atas perkara inilah aku dan beberapa orang rakanku yang terkeliru atau cuba dikelirukan memilih untuk masuk dalam kumpulan kelima. Kami berasa sangat keliru, kalau empat orang saksi itu tidak mahu digunakan, bilakah hukum itu akan sesuai digunakan kerana rasanya tiada satu pun kes-kes songsang seperti sodok-menyodok, sumbang mahram, rogol dan sebagaimana berlaku di tempat yang dapat dilihat oleh saksi. Kami juga keliru, adakah cadangan kelompok keempat itu tadi seolah-olah tidak yakin dengan hukum Al-Quran atau hanyalah kami yang mencipta khilaf? Pada pendapat kami, dalam hal ini pandangan golongan kelima tadi bakal mengundang orang ramai, lebih-lebih lagi bagi mereka yang pemahaman agamanya tidak sehebat kelompok keempat tadi. Lagi satu, sekiranya ada di antara ahli dalam kelompok keempat itu tadi dituduh sebegitu, apakah kaedah penyelesaian yang mereka akan buat? Ikut undang-undang biasa, sumpah laknat atau membawa empat saksi sebagaimana undang-undang Islam? Ah, keliru betul! Semua yang berlaku ini hanya menambah kesengsaraan kami sahaja. Akhirnya, kami golongan kelima mengambil keputusan. Lantaklah apa yang mereka mahu buat. Lebih baik kami mencari kerja sampingan untuk menambah pendapatan. Kami mahu cari duit untuk mengisi minyak kereta! Kalian, bagaimana?

 

→ 1 CommentCategories: Kritis Sinis

Naik Tak Turun

July 8, 2008 · 1 Comment

Adakah anda tahu apakah bendanya kalau sudah naik malas untuk turun?  Kalau anda katakan bahawa monyet, kera, lotong,panda,tupai atau kerawak sebagai jawapannya, maka jawapan anda salah. Haiwan-haiwan yang disebutkan itu akan turun juga kalau sudah letih berada di atas pokok. Saham juga kerap turun dari naik.Jadi, apa jawapannya?

 

MINYAK PETROL. Benda ini kalau harganya sudah naik, jangan haraplah mahu turun biarpun anda merayu-rayu. Silap-silap semakin dirayu, makin naik harganya. Aku tidak mahu komen lebih-lebih tentang harga minyak ini. Nanti ada pula yang meradang. Kadang-kadang aku terfikir, bagaimana agaknya mereka yang bergaji di bawah seribu ringgit sebulan, anak lima atau enam orang menghadapi situasi ini. Bagaimana agaknya kehidupan mereka. Tentu sangat gawat. Macam mana mahu berjimat kalau sebelum harga minyak naik pun kehidupan mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika dicongak betul-betul, kita andaikan kalau-kalau tempat kerja mereka agak jauh dari rumah, sebahagian besar gaji mereka dibelanjakan untuk minyak. Penat-penat kerja sebulan hanya untuk isi minyak. Rasa-rasanya inilah kenyataan pada hari ini. Kasihan mereka. Aneh betul hidup ini. Ya Tuhan, bantulah kami!

→ 1 CommentCategories: Kritis Sinis

Tiba-Tiba Sahaja…

June 19, 2008 · 1 Comment

Masuk hari ini sudah tiga hari aku, rakan-rakan dan murid-murid berkampung di Kem Dato’ Sagor, Kampung Gajah. Tiga hari yang telah kulewati adalah sebahagian benang-benang pengalaman yang akan kuadun dan sulam menjadi renda hidup. Aku dan yang lain-lainnya berada di sini untuk mengikuti Kem KPerak Kidz yang sebenarnya adalah Program Celik ICT. Program ini merupakan program anjuran KPerak Inc. Coperation dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Perak dan Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli.

Bahagia rasanya apabila melihat murid-murid begitu seronok mengikuti aktiviti-aktiviti yang dirancangkan. Harap-harap segala yang dipelajari kekal dalam sanubari dan dapat dibawa pulang hasilnya. Pagi tadi aku bersarapan nasi goreng, keropok dan air teh. Biarpun seleraku tidak begitu akrab dengan nasi goreng pada waktu pagi, aku memujuk hatiku untuk menerima apa sahaja seadanya dan sentiasa bersyukur dengan rahmat Tuhan. Nasi goreng memang bukan pilihanku tetapi sebagai insan kerdil di bumi Tuhan, usah kita terlalu meminta-minta kerana tidak ada orang yang mempunyai kemampuan memenuhi kesemua permintaan pihak yang lain. Selebihnya, ingatanku tertumpu pada mangsa-mangsa kebuluran di beberapa buah negara di luar sana. Kata akalku, bersyukurlah dengan apa yang ada kerana di luar sana masih ramai lagi manusia yang tidak punya apa-apa. Cuma, kadang-kadang aku teringat, pada waktu pagi begini aku kebiasaannya akan memilih nasi lemak sebagai pilihan utama sewaktu bersarapan. Nasi lemak……tiba-tiba sahaja aku rindu menyedut aromanya!

 

 

→ 1 CommentCategories: Duniaku

Kiranya Kautahu

June 17, 2008 · 1 Comment

Dua pekan yang berlalu aku sempat berbicara dengan seorang rakan lama yang baru kujumpa semula. Kami berbual-bual tentang keadaan dirinya dan tidak lupa mengulas isu-isu semasa. Harga barangan harian yang ikut melompat sama dengan kenaikan harga minyak tidak terlucut daripada perbualan kami. Rakanku itu seorang yang bekerja sendiri dengan purata pendapatan lima ratus ringgit sebulan. Pada satu kesempatan, aku bertanya secara bergurau kepadanya, “Bagaimana kamu membelanjakan pendapatanmu setiap bulan? Secara selamba dia menyatakan, “Aku bekerja setiap bulan hanya untuk mencari duit bagi mengisi minyak!”

→ 1 CommentCategories: Duniaku

Berikan Aku Kepastian!

June 17, 2008 · 1 Comment

Penjaga daerah ini telah membuat pengumuman mega bahawa pihaknya akan menambah jumlah keluasan sawah-sawah padi di seluruh daerah ini. Kata mereka sekiranya jumlah kawasan penanaman padi ini ditambah, maka sudah tentulah bekalan beras dalam negara akan bertambah. Rakyat terbawah tidak akan sukar mencari beras di celah-celah timbunan bawang. Rakyat terbawah akan mudah mendapatkan beras walau di mana sahaja mereka berada. Apabila sampai saat itu nanti kata mereka ( barangkali mungkin boleh dianggap sebagai janji) tidak akan ada lagi keluhan daripada rakyat terbawah akan kesukaran mendapatkan beras. Aku sendiri berasa terbuai-buai dialun bayu pantai apabila mendengarkan janji ini. Nampaknya selepas ini aku akan mendapat lena cendera buat kali pertama. Cuma, kadang-kadang aku bingung memikirkan bahawa keadaan sebenar dalam daerah ini ialah, daerah ini bukan kekurangan beras lalu menyebabkan harganya naik. Hakikatnya ialah, beras-beras ini disorok untuk memanipulasi harganya di pasaran. Tujuannya hanya satu, apabila bekalan dapat dikurangkan sedangkan permintaan makin meningkat, maka harga akan menjadi taruhan mainan. Kalau mahu beras, kalian mesti bersetuju dengan harganya. Kalau pembekal menyorok lagi beras selepas ini bagaimana? Adakah semua tanah yang ada di daerah ini akan ditanam dengan padi? Kalau sakitnya di kaki, ubatlah di kaki dan bukan di kepala. Pada kesempatan yang sedikit sempit ruangnya ini, aku ingin melontarkan satu pertanyaan, mampukah mereka yang merencanakan perluasan jumlah kawasan penanaman padi ini memberikan kepastian kepadaku bahawa selepas kawasan penanaman padi ini ditambah, harga beras dapat diturunkan? Sekiranya selepas ini harga beras akan tetap juga naik biarpun kawasan padi menjadi lautan saujana mata memandang, apakah gunanya mereka menabur janji palsu kepada aku dan rakyat terbawah yang lain? Tolonglah, berikan aku kepastian!

→ 1 CommentCategories: Kritis Sinis

Kembalikan Guni Beras kami!

June 17, 2008 · 1 Comment

Permintaan ini aku tujukan buat mana-mana pihak tidak kira yang bermastautin di bumi, laut,udara atau di dalam tanah sekalipun. Sekiranya kalian pernah mengambil ,mencuri atau telah terjumpa mana-mana guni beras kami yang dikatakan telah hilang oleh penjaga gudang makanan di daerah ini supaya mengembalikannya kepada kami. Guni-guni beras itu asalnya milik kami dan kami mempunyai akses dan hak mutlak ke atasnya. Anda tidak berhak mengambil apa-apa yang telah termaktub sebagai hak kami. Kembalikanlah supaya kami dapat menikmati semula keriangan kami pada waktu-waktu sebelum ini. Kiranya kalian masih belum menyedari, biar aku khutbahkan. Kehilangan guni-guni beras itu telah menyebabkan kami perlu membayar harga yang lebih mahal bagi beras-beras yang masih ada bakinya di dalam gudang. Itu kata penjaga gudang. Jadi, kepada mereka yang telah mengambil beras-beras ini secara tidak sah, kembalikanlah kepada kami.Jangan kalian tambah sengsara di jiwa kami. Kembalikan guni beras kami!

→ 1 CommentCategories: Kritis Sinis

Aku Berlutut Di Kakimu!

June 16, 2008 · 1 Comment

Tahun ini beberapa kali jantungku hampir meletup. Sebelumnya doktor sering berpesan jantung perlu dijaga bagai anak kecil. Perlu sentiasa dibelai. Apabila doktor berpesan sebegitu, aku sedaya upaya memenuhi permintaannya walaupun dengan penuh rungutan kecil kerana rakus seleraku direntap kasar. Kayanya bumi Tuhan ini dengan timbunan makanan di dalamnya tetapi anehnya tidak semua boleh dimakan. Kata doktor, kalau mahu sihat, perut perlu diikat. Anehnya dalam tahun ini, masalah dijantungku bukan disebabkan pemakanan tetapi degup jantungku yang sebelum ini kekal normal diganggu pintas dengan beberapa pengumuman dan situasi dalam negara yang makmur ini. Mula-mula aku dikejutkan dengan tsunami pilihanraya.Kemudian, hilangnya simpanan beras dalam negara biarpun pada awalnya pengawal gudang menyatakan bahawa simpanan beras banyak dan mampu bertahan selama enam bulan. Tidak sampai dua bulan, beras di gudang entah kemana perginya dan apabila ditanya kepada pengawal yang bercakap besar dulu, jawapannya berdolak-dalik.Tergagap-gagap mencari alasan. Agak-agaknya semasa bercakap dahulu, dia terlupa untuk menyemak baki beras yang ada betul-betul dan bukannya percayakan kata-kata rakan pengawalnya yang mungkin penipu juga.Puas aku merawat jantungku supaya degupnya tidak terlalu laju dan sering menyebabkan aku termengah-mengah. Kupujuk hati dengan menyatakan bahawa semua ini akan pulih. Guni beras yang hilang mungkin akan ditemui suatu hari nanti. Baru sahaja jantungku mahu pulih, aku menerima satu lagi kejutan. Kali ini, aku yang sedang makan terbelahak apabila mendengar berita mengejutkan.Penghilang rasa haus dan penyambung kudrat keretaku buat hal lagi. Mahu naik ke paras yang lebih tinggi lagi. Kata pihak yang mengumumkan perkara ini, kenaikan ini sangat diperlukan kerana rasa prihatin pada kebajikan rakyat. Harga minyak perlu dinaikkan untuk membantu rakyat. Berkali-kali aku cuba memahaminya tetapi aku gagal. Harga naik untuk membantu rakyat. Kemudian, pihak yang mengumumkan berita paling besar tahun ini itu tadi memberikan pen jelasan lanjut. Rakyat seperti aku perlu membayar minyak pada harga pasaran supaya wang subsidi yang dikurangkan itu dapat disimpan dan digunakan untuk diagihkan kepada bahagian-bahagian yang lain seperti bahagian pertanian.Beberapa hari kemudian alasan itu menjadi basi apabila orang yang sama membuat pengumuman itu tadi menyatakan bahawa wang yang diharapkan dapat disimpan dan digunakan untuk tujuan yang lain itu pun sebenarnya tidak dapat disimpan.Katanya, wang yang disimpan itu digunakan untuk menampung kenaikan harga minyak. Aduh, mana mana ? Mula-mula kata minyak naik kerana subsidi yang ditarik balik itu akan digunakan untuk bahagian lain dan kemudian diberitahu pula bahawa itu pun tidak kesampaian. Jadi, mahu buat apa sebenarnya ? Serabut betul fikiran aku ! Katanya lagi, harga minyak dalam negara ini jauh lebih murah berbanding negara-negara jiran yang kemudiannya dapat kukesan bahawa negara jiran yang disebut-sebut itu dipilih-pilih rupa-rupanya. Negara Brunei ditinggalkan entah kerana apa. Rakyat seperti aku akan dapat rebat apabila kami menghidupkan cukai jalan. Rebat itulah subsidi kata mereka lagi. Oo…harga minyak naik tapi aku dapat rebat. Bagus juga. Kemudian aku terfikir pula, dapat rebat setahun sekali tapi aku kena isi minyak hari-hari. Rebat tidak dapat membantuku. Jantungku kembali berdegup kencang.Kali ini kepala pula menjadi semakin pening dan pandangan mataku berbinar-binar. Aku tiba-tiba teringat tempat kerjaku agak jauh dari rumah. Minyak perlu diisi setiap hari dan selepas ini jumlah bayarannya tentu sahaja bertambah dengan agak banyak. Rebat pula hanya muncul dengan senyum sinisnya setahun sekali. Nampaknya aku dan yang lain-lainnya bekerja hanya untuk mendapatkan wang bagi mengisi minyak. Kerja penat-penat untuk isi minyak. Perbelanjaan harian macam mana? Barangan makanan, susu anak, bayaran bil-bil dan belanja seharian macam mana ? Aku mana tahu.Bukankah sudah kukatakan tadi aku tengah pening kepala sekarang. Aku memang akan terus pening kerana aku benar-benar tahu bahawa apa sahaja yang ‘naik’ di daerah ini sangat sukar untuk turun kembali. Biarpun aku dan yang lain-lain diperingatkan supaya menerima kenaikan ini dengan pemikiran yang matang tetapi maaf dalam keadaan kepalaku pening dan mual ini aku memang gagal mematangkan diriku. Mana mungkin aku bertindak matang kerana sebelum ini pun pendapatanku hanya cukup-cukup makan sahaja. Sekarang, dengan harga minyak melambung dan sudah pasti diikuti kenaikan harga barangan harian (biarpun berkali-kali diberitahu bahawa harga barangan tidak akan naik tetapi pengalaman mengajarku bahawa bab ini memang tidak boleh dipercayai) mana mungkin aku menjadi matang. Aku tidak mampu menjadi matang sebagaimana yang diminta kerana hakikatnya gajiku tetap begitu dan aku terpaksa menerima tamparan ini pula. Tidak mampu aku menjadi matang! Wahai minyak, turunlah sayang! Kasihanilah kami yang di bawah ini. Bayangkanlah jika gaji kami hanya RM 700 sebulan atau kurang daripada itu dan sebahagian besarnya hanya untuk dirimu .Janganlah begini .Tolonglah ! Aku berlutut di kakimu!

 

 

 

→ 1 CommentCategories: Kritis Sinis

Sinis Sang Sherpa Di Kaki Sagarmatha

June 16, 2008 · Leave a Comment

Dingin menggigit kaki, menjilati pipi. Terasa menjalar ke seluruh urat nadi, langsung ke sarang otakku. Berdenyut seperti terkena arus elektrik, seakan-akan aliran darah terhenti sebentar. Baju tebal yang kupakai rupa-rupanya tidak mampu menghalang dingin menyelinap merajai seluruh daerah tubuhku, termasuk kawasan-kawasan terpencil yang seharusnya kekal pijar jika berada di negaraku sendiri. Aku tersenyum-senyum sendiri sambil membuat beberapa gerakan bagi memanggil udara panas. Kedua-dua tangan kasarku kugosokkan saling bergandingan saling bertukar tindanan. Kejap-kejap aku memeluk tubuh, kejap-kejap aku melompat-lompat kecil. Debar di dada dan getaran laju jantungku kukira masih belum sirna seawal kakiku melangkah ke perut pesawat yang membawa aku dan rakan-rakanku jauh dari tempat tinggal kami hinggalah sampai ke sini.

    Mataku liar memerhatikan banjaran gunung yang terbentang luas di hadapanku. Nah, salah satu daripada puncak gunung itulah yang akan kami tawan nanti.Puncak yang paling tinggi. Puncak yang menjadi idaman dan igauan seluruh homo sapien sarwajagat ini. Hampir tidak percaya kerana pada hari ini aku sedang berada di kaki Gunung Everest, raja segala gunung. Aku sedang berdiri di hadapan paksi keajaiban setinggi lapan ribu lapan ratus empat puluh lapan meter dari paras laut yakni lebih dua puluh sembilan ribu kaki, melekap di Mahalangur Himal, Himalaya. Kalau mengikut bacaanku di internet, koordinatnya adalah 27.59’ 17” N, 86.55’ 31” E . Orang-orang Nepal memanggilnya Sagarmatha dari kata Sanskrit yang bermaksud dahi langit manakala orang-orang Tibet menggelarnya Chomolangma atau Qomolangma yang memberi erti “ibu alam” . Nama Everest hanya diberikan oleh Jeneral Peninjau British iaitu Sir Andrew Waugh sebagai penghormatan paling dalam buat penguasa sebelumnya iaitu Sir George Everest. Kata mereka yang pernah berjaya menawan puncaknya, berada dan berdiri pada puncak yang paling tinggi ini adalah gumpalan nikmat yang tidak terbanding. Menghirup udara sempit di puncaknya adalah seperti merajai inderaloka.Bangga dan puas. Kata mereka lagi, kejayaan memeluk puncak tertinggi di dunia itu adalah himpunan nikmat yang kekal mewangi selagi belum direputi tanah. Kata-kata penuh semangat seperti inilah yang membakar keazamanku dan rakan-rakanku untuk membuktikan bahawa kami anak Melayu mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa hebat yang lain. Semangat kami untuk membuktikan Melayu Boleh terus diapi-apikan dengan cerita-cerita sejarah kehebatan orang-orang Melayu zaman dahulu yang pernah menjadikan lautan lantai mainan harian mereka. Tuah sendiri pernah berkata bahawa takkan Melayu hilang di dunia.

   Jika dikira dari umurku sepuluh tahun, kini hampir dua windu aku menyimpan hajat untuk menyedut udara dingin di puncak tertinggi ini. Akan kukutip beberapa batu kecilnya supaya dapat kujadikan bukti bahawa aku pernah ke sini dan merakamkan namaku di dalam buku catatan manusia-manusia cekal, hebat, penuh semangat dan keazaman. Aku tersenyum lagi buat kali kedua. Hebat benar kurasakan sekiranya impianku itu tertunai kali ini.  Kulihat kawan-kawanku sedang sibuk membetulkan beg sandang mereka dan beberapa peralatan yang dibawa khas dari negaraku. Semuanya untuk memastikan cita-cita kami tercapai. Latihan tiga purnama yang telah kami lalui adalah bekalan penting yang akan dipraktikkan di sini. Sebutkanlah apa sahaja bentuk gunung, hampir semuanya telah kami daki dengan jayanya semata-mata untuk membiasakan diri di sini. Gunung Himacha Pradesh, Gunung Cho Oyu dan Gunung Kamet di Banjaran Himalaya yang tingginya empat ribu hingga lapan ribu meter dari paras laut itu pun pernah berada di bawah tapak kaki kami. Segala macam latihan menguatkan fizikal dan mental telah kami jalani. Keyakinan kami ketika ini melimpah dan membuak-buak apatah lagi program yang kami lakukan ini telah digembar-gemburkan dengan hebatnya di media-media cetak dan elektronik. Sokongan rakyat datang dari seluruh pelosok negara. Kami dianggap bakal wira negara, bakal mengharumkan negara di mata dunia. Pemimpin belia di negara kami telah merancang sebaik-baiknya aktiviti ini. Kami diminta membuktikan bahawa anak Melayu serba boleh,penuh semangat,pantang undur,penakluk dunia,warisan berani, anak Melayu darahnya merah semangat dan anak Melayu mampu segala. Kata pemimpin belia di tempat kami, soal duit usah difikirkan. Semuanya beres. Kami hanya diminta berlatih memanjat dan mendaki, belajar menguatkan semangat dan memotivasikan diri bahawa kami sebenarnya mempunyai kekuatan dalaman yang tidak ada tolok bandingnya. Aku dipeluk rasa bangga yang menyelimuti rasa takutku. Aku ingin menjadi seperti Nawang Gombu, Junko Tabei, Phantog, Reinhold Messner, Peter Habeler, Laurie Skreslet, Jean Marc Boivin, Ramon Blanco, Hans Kammerlander, Goran Kropp, Edward  Grylls, Tom Whitetaker, Babu Chiri, Temba Tsheri, Erik Weihenmayer, Sherman Bull, Pemba Dorjie, Lakpa Gelu yang begitu kental semangat mereka atau Yuichiro Miura, manusia tertua memeluk puncak Everest pada usia tujuh puluh tahun. Kalau Yuichiro mampu, masakan aku tidak.

    Kumpulan Sherpa yang ditunggu-tunggu masih belum muncul. Kehadiran mereka sangat penting kerana mereka yang paling arif dengan selok-belok kawasan pergunungan ini. Tanpa kelibat mereka, usaha kami akan mengalami kepayahan yang bukan sedikit. Mengikut pengetahuanku Sherpa ini adalah cantuman  perkataan “Sher” yang bermaksud timur dan “pa” yang bermaksud orang. Mereka sebenarnya adalah campuran Tibet dan Nepal kerana kedua-dua negeri ini bersebelahan dan telah berkunjung dari Tibet ke Nepal sekitar 500 tahun yang lalu. Sejarah kehebatan mereka sebagai penunjuk jalan memang telah terbukti dan tidak perlu dipertikaikan. Tenzing Norgay misalnya adalah Sherpa yang menemani Edmund Hillary yang menjadi manusia pertama menakluki puncak ini pada tahun 1953. Aku juga sangat kagum dengan Appa Sherpa yang telah memijak puncak gunung ini sebanyak 17 kali yang seolah-olah menjadikan pendakian serba mencabar ini hanya suatu latihan ringan kepadanya.

    Aku dan sembilan orang kawanku sebenarnya tidak sabar-sabar memulakan langkah pendakian penuh sejarah ini. Cuma kini kami masih perlu menunggu kumpulan Sherpa seramai tiga orang yang telah ditempah khas oleh ketua ekspedisi kami Dr. Raden Kasmungi. Rakan-rakanku mengambil kesempatan yang terluang ini untuk merehatkan diri ekoran keletihan akibat perjalanan yang jauh. Aku sendiri menggunakan kesempatan ini untuk membuat sedikit catatan dalam diari kecil yang memang akan menjadi barang paling berharga buatku sepanjang perjalananku nanti. Aku akan mencatat segalanya mengikut sorot mataku sendiri, tentu sahaja lebih tepat, segar dan akan kupercayai kerana yang mencatatnya nanti adalah inderaku sendiri.

    Saat matahari turun di kaki langit menyingkap kelambu senja, barulah kelibat tiga Sherpa yang kami tunggu-tunggu kelihatan. Ketua kumpulan tersebut segera meminta maaf kepada kami kerana gagal hadir awal disebabkan masalah pengangkutan. Kulihat tidak sedikitpun ada riak kelat di wajah ketua ekpdesisi kami kerana katanya cabaran pasti akan menjadikan perjalanan kami nanti penuh keseronokan. Aku juga tidak terkejut kerana ketua Sherpa memberitahu kami bahawa tidak akan ada perjalanan awal pada senja ini kerana katanya kami perlu menghimpun segenap kekuatan untuk memulakan perjalanan panjang esok hari.

    Malam yang dingin itu aku hangatkan dengan rancak bercerita perihal Everest. Aku sangat teruja mendengar cerita ketua Sherpa kami. Namanya Lakpa Galana, lelaki lewat 40-an dengan kumis nipis dan mata sepet. Kulitnya agak gelap biarpun rakan-rakannya yang lain mempunyai warna kulit yang agak cerah. Garis-garis kasar pada mukanya menyebabkan aku terasa  bahawa lelaki ini sangat kuat bekerja dan tidak takut dengan cuaca. Sesekali aku mengangguk-angguk mendengar lelaki ini terkial-kial berbahasa Inggeris tapi kemudian selepas satu pertiga perbualan kami, aku pula dikejutkan dengan kepetahannya berbahasa Melayu.

    “Panggil saja namaku Lakpa. Aku tidak punya apa-apa gelaran lain. Aku belajar bahasa ini daripada kumpulan pendaki yang pernah kemari sebelum kamu tetapi tidak sempat menghabiskan pendakiannya kerana gagal melawan cuaca di sini. Aku juga sebenarnya hanya Sherpa sambilan kerana kerjaku yang sebenar ialah pensyarah Bahasa Melayu sebuah universiti di Nepal. Tentu kamu tahu bahawa gaji kami tidak sebesar gaji di negaramu. Jadi aku perlu mencari kerja sampingan buat isteri dan anak-anakku meneruskan nafas mereka. Namamu siapa ?” Tanya Lakpa Galana padaku. Aku sempat menguntum senyum ikhlas buatnya sebelum menyambung perbualan kami. Aku sebenarnya terkejut dan kagum dengan kata-kata Lakpa Galana sebentar tadi. Seorang pensyarah menjadi Sherpa sewaktu musim cutinya. Sesuatu yang belum tentu dilakukan oleh pensyarah di tempatku.

    “Nama saya Ahmad Fitri Abdullah. Sedari tadi kami menunggu kehadiran Encik Lakpa. Tidak sabar rasanya memulakan pendakian,” kataku penuh semangat. Namun kata-kataku disambut ketawa kecil dan senyum sinisnya.

Sebentar kemudian, dia memberikanku beberapa soalan yang akhirnya benar-benar menyebabkanku kaget dan meruntuhkan tembok semangatku yang kukira begitu kukuh sebelum ini.

    “Apa sebenarnya niat kamu dan rakan-rakanmu mendaki  Sagarmatha ini ? Apa yang mendorong kalian kemari. Semangat yang berkobar-kobar atau

ingin membuktikan kehebatan kalian ?” Soalnya. Terasa juga peluh dingin di dahiku apabila mendengar soalan-soalannya itu. Keyakinanku tiba-tiba sahaja menjadi goyah.

    “Terus-terang saya katakan kami pada asalnya adalah sekumpulan mat rempit yang selalu menunggang motosikal tanpa tujuan dan mengganggu orang ramai. Kami selalu menghabiskan masa untuk berlumba dan adakalanya perbuatan kami mengundang bahaya pada orang lain. Malah, ada juga kanak-kanak yang pernah kami terlanggar sewaktu kami merempit. Kami dianggap sampah masyarakat. Kemudian, ada kumpulan dan pertubuhan belia di tempat kami yang ingin merubah kehidupan kami. Kami dikumpulkan dan dipilih untuk menyertai ekspedisi ini dan menukar anggapan serong masyarakat terhadap kami. Kami diminta membuktikan bahawa mat rempit juga boleh mengharumkan nama Negara dan menjadi wira,” kataku dengan berhati-hati. Aku kini berhadapan seorang pensyarah dalam wajah Sherpa. Biarpun badannya Sherpa, padaku jiwanya, otaknya tentu sahaja campuran Sherpa dan pensyarah.

    “Niat penaja yang menaja kamu baik tetapi pada pandanganku caranya salah. Niat tidak boleh menghalalkan cara.”

    Malam yang dingin tiba-tiba pula kurasakan agak berbara. Sherpa ini seakan-akan menguji kesabaran dan semangatku. Lebih menakutkan kata-katanya berbaur sinis. “ Kenapa pula salah? Kami hanya mahu membuktikan bahawa bekas sampah masyarakat seperti kami juga mampu berbuat jasa kepada Negara. Kami juga mampu menyumbang sesuatu yang bermakna kepada Negara.” Aku berasa sedikit marah kerana ketika ini semua rakanku telah dibuai mimpi dan tidak dapat membantuku menjelaskan impian besar kami.

    “Dalam bentuk apa jasamu pada Negara? Apakah sekiranya kamu berjaya memacakkan bendera Negara kamu di puncak Sagarmatha, dirimu akan berubah? Negaramu akan maju? Bagaimana ? Adakah selepas berita kejayaanmu memeluk Sagarmatha terpampang di dada televisyen kehidupanmu dan keluargamu akan jadi lebih baik? Aku rasa biarpun kamu berjaya mengibarkan benderamu dan bergambar penuh keriangan di puncak itu, dirimu masih insan yang sama. Cuma, barangkali kamu akan diselimuti rasa megah yang pada akhirnya kamu akan sedar sendiri semua itu adalah warna-warna penipuan terhadap dirimu yang akan cair beberapa ketika selepas kamu kembali ke negaramu. Jangan marah dengan kata-kataku tapi fikir dan dengarkan kata hatimu setulus-tulusnya. Aku juga tidak menghalangmu meneruskan pendakian esok.” Dia merenungku dalam. Redup matanya seolah-olah memintaku terus berbicara dan melawan kata-katanya.

    “ Sekurang-kurangya kami akan dapat mencatat nama sebaris dengan penakluk-penakluk Sagarmatha sebelum ini. Sekurang-kurangnya kami dapat membanggakan negara dan keluarga.”

    Sekali lagi Lakpa Galana tersenyum sinis membuatku bertambah getar. Sesekali dia menggeleng-gelengkan kepada. “Aneh benar caramu dan kawan-kawanmu membanggakan negara dan keluarga. Berapa banyak perbelanjaan ekspedisi kamu ini?”

    “Kalau tidak silap, lebih dari tiga juta ringgit. Kenapa?”

    “Itulah maksudku tadi. Sepatutnya kamu dan kawan-kawanmu merubah cara hidupmu dengan cara yang lebih baik. Dengan jumlah duit yang banyak itu sebenarnya kamu dan kawan-kawanmu mampu membina sebuah kilang dan membeli peralatannya dan kesepuluh orang kamu boleh dilatih menjadi usahawan yang berjaya. Kalau betul caranya, selepas satu tempoh masa, mungkin kesemuanya akan menjadi jutawan. Nah, inilah yang dapat membantu negara dan keluargamu serta dirimu sendiri. Tiga juta yang dibelanjakan hanya untuk memacakkan bendera di Sagarmatha adalah kerja orang gila. Benar-benar membazir. Selepas pulang, kamu akan seperti yang sebelumnya sedangkan wang telah habis dibelanjakan. Kalau setakat mendaki gunung, dan memacakkan bendera,monyet pun mampu melakukannya!” . Kata-kata Lakpa yang terakhir ini merentap alir jantungku.Terasa pedih dan perit. Terlalu sinis tetapi tidak dapat disangkal. Jantungku seakan terhenti denyutnya. Kepalaku berdenyut-denyut. Terasa seakan ada belati tajam menikam tepat ke dadaku. Malam seakan menjadi semakin panjang sedang aku kehilangan segala-gala, semangat, keyakinan dan kekuatanku melayang ke kaki Sagarmatha. Selepas itu aku tidak mampu lagi memejamkan mata untuk tidur kerana kekuatanku untuk tidur juga lenyap bersama-sama semangatku.

    Sewaktu mahu memulakan pendakian ketika sang suria menyingsing subuh, aku mendapat kekuatan baru untuk membuat satu kejutan. Aku membatalkan hasratku mencium Sagarmatha. Ketika ditanya ketua ekspedisi kami alasan tindakanku itu, aku memandang ke puncak Sagarmatha yang diselubungi kabus dan berkata perlahan,”Aku tidak ingin menjadi monyet!”.

→ Leave a CommentCategories: Kritis Sinis

Berikan Aku Ruang !

June 16, 2008 · 1 Comment

Berikan aku ruang, biarpun sedikit,sempit atau terbatas untuk aku meluahkan apa yang tersekat di kerongkong. Berikan aku kesempatan untuk meredakan sedikit tekanan yang sebenarnya adalah adunan dan gumpalan dari rasa payah yang ada dalam diriku bahawa aku tidak boleh hanya melihat sesuatu yang berlaku sebegitu sahaja kerana sampai saat ini aku masih belum berupaya mengawal keserakahan otakku. Apa yang dilihat pasti mahu difikir-fikir tanpa dapat ditahan-tahan. Anehnya, sejak akhir-akhir ini lantaran apa yang sedang melanda negara kita ini, otakku semakin kuat permintaannya, mendesah-desah menunjal-nunjal minta untuk digunakan. Aku tercari-cari tempat untuk melampiaskan keinginan yang meruap membara ini tetapi semakin kucuba ,semakin kulihat denainya menjadi semakin sempit dan berbalam-balam. Tiada gelanggang yang sesuai biarpun sekadar bertarung pendapat kerana permintaan otakku ini sedikit tinggi egonya. Tidak mahu ruang perbincangan, perdebatan, diskusi main-main atau kata orang kampung, “Ah, itu cuma wayangan mereka sahaja, nampak macam beria-ia bertekak dan meluahkan pendapat tetapi hanya mengaburi mata orang lain. Tidak ada apa-apa kesan sebenarnya. Hanya lakonan kecil-kecilan sahaja” Otakku tidak mahu sebegitu. Mahunya ialah, berilah ruang kebebasan untuk menyuarakan apa sahaja sama ada kontra atau tidak terhadap sesuatu isu atau perkara dan selayaknya mendapat jawapan dalam julat yang begitu juga. Katakanlah biarpun pahit. Itu sebenarnya yang dicari. Tulus, telus dan tiada noktah pada kejujuran dan keikhlasan berbicara. Tidak ada kata-kata tipu muslihat, janji palsu laksana mahu mendiamkan anak yang menangis. Hanya lakonan semata-mata. Bukan itu yang dicari. Otakku masih meminta-minta dan pada kesempatan yang terbatas,penuh keredhaan, aku mengambil keputusan yang nekad dan tidak kusangka otakku bersetuju. Aku memilih blog untuk memenuhi keserakahan otakku. Berikan aku kebebasan dan jangan disekat lagi. Anda tahu kenapa ? Aku terlalu teringin berdiri di hujung pelangi !  Wahai angin yang perasa, bawakan aku elusan saktimu!

→ 1 CommentCategories: Uncategorized