Akudanmayapada

Entries from June 2008

Tiba-Tiba Sahaja…

June 19, 2008 · 1 Comment

Masuk hari ini sudah tiga hari aku, rakan-rakan dan murid-murid berkampung di Kem Dato’ Sagor, Kampung Gajah. Tiga hari yang telah kulewati adalah sebahagian benang-benang pengalaman yang akan kuadun dan sulam menjadi renda hidup. Aku dan yang lain-lainnya berada di sini untuk mengikuti Kem KPerak Kidz yang sebenarnya adalah Program Celik ICT. Program ini merupakan program anjuran KPerak Inc. Coperation dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Perak dan Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli.

Bahagia rasanya apabila melihat murid-murid begitu seronok mengikuti aktiviti-aktiviti yang dirancangkan. Harap-harap segala yang dipelajari kekal dalam sanubari dan dapat dibawa pulang hasilnya. Pagi tadi aku bersarapan nasi goreng, keropok dan air teh. Biarpun seleraku tidak begitu akrab dengan nasi goreng pada waktu pagi, aku memujuk hatiku untuk menerima apa sahaja seadanya dan sentiasa bersyukur dengan rahmat Tuhan. Nasi goreng memang bukan pilihanku tetapi sebagai insan kerdil di bumi Tuhan, usah kita terlalu meminta-minta kerana tidak ada orang yang mempunyai kemampuan memenuhi kesemua permintaan pihak yang lain. Selebihnya, ingatanku tertumpu pada mangsa-mangsa kebuluran di beberapa buah negara di luar sana. Kata akalku, bersyukurlah dengan apa yang ada kerana di luar sana masih ramai lagi manusia yang tidak punya apa-apa. Cuma, kadang-kadang aku teringat, pada waktu pagi begini aku kebiasaannya akan memilih nasi lemak sebagai pilihan utama sewaktu bersarapan. Nasi lemak……tiba-tiba sahaja aku rindu menyedut aromanya!

 

 

Categories: Duniaku

Kiranya Kautahu

June 17, 2008 · 1 Comment

Dua pekan yang berlalu aku sempat berbicara dengan seorang rakan lama yang baru kujumpa semula. Kami berbual-bual tentang keadaan dirinya dan tidak lupa mengulas isu-isu semasa. Harga barangan harian yang ikut melompat sama dengan kenaikan harga minyak tidak terlucut daripada perbualan kami. Rakanku itu seorang yang bekerja sendiri dengan purata pendapatan lima ratus ringgit sebulan. Pada satu kesempatan, aku bertanya secara bergurau kepadanya, “Bagaimana kamu membelanjakan pendapatanmu setiap bulan? Secara selamba dia menyatakan, “Aku bekerja setiap bulan hanya untuk mencari duit bagi mengisi minyak!”

Categories: Duniaku

Berikan Aku Kepastian!

June 17, 2008 · 1 Comment

Penjaga daerah ini telah membuat pengumuman mega bahawa pihaknya akan menambah jumlah keluasan sawah-sawah padi di seluruh daerah ini. Kata mereka sekiranya jumlah kawasan penanaman padi ini ditambah, maka sudah tentulah bekalan beras dalam negara akan bertambah. Rakyat terbawah tidak akan sukar mencari beras di celah-celah timbunan bawang. Rakyat terbawah akan mudah mendapatkan beras walau di mana sahaja mereka berada. Apabila sampai saat itu nanti kata mereka ( barangkali mungkin boleh dianggap sebagai janji) tidak akan ada lagi keluhan daripada rakyat terbawah akan kesukaran mendapatkan beras. Aku sendiri berasa terbuai-buai dialun bayu pantai apabila mendengarkan janji ini. Nampaknya selepas ini aku akan mendapat lena cendera buat kali pertama. Cuma, kadang-kadang aku bingung memikirkan bahawa keadaan sebenar dalam daerah ini ialah, daerah ini bukan kekurangan beras lalu menyebabkan harganya naik. Hakikatnya ialah, beras-beras ini disorok untuk memanipulasi harganya di pasaran. Tujuannya hanya satu, apabila bekalan dapat dikurangkan sedangkan permintaan makin meningkat, maka harga akan menjadi taruhan mainan. Kalau mahu beras, kalian mesti bersetuju dengan harganya. Kalau pembekal menyorok lagi beras selepas ini bagaimana? Adakah semua tanah yang ada di daerah ini akan ditanam dengan padi? Kalau sakitnya di kaki, ubatlah di kaki dan bukan di kepala. Pada kesempatan yang sedikit sempit ruangnya ini, aku ingin melontarkan satu pertanyaan, mampukah mereka yang merencanakan perluasan jumlah kawasan penanaman padi ini memberikan kepastian kepadaku bahawa selepas kawasan penanaman padi ini ditambah, harga beras dapat diturunkan? Sekiranya selepas ini harga beras akan tetap juga naik biarpun kawasan padi menjadi lautan saujana mata memandang, apakah gunanya mereka menabur janji palsu kepada aku dan rakyat terbawah yang lain? Tolonglah, berikan aku kepastian!

Categories: Kritis Sinis

Kembalikan Guni Beras kami!

June 17, 2008 · 1 Comment

Permintaan ini aku tujukan buat mana-mana pihak tidak kira yang bermastautin di bumi, laut,udara atau di dalam tanah sekalipun. Sekiranya kalian pernah mengambil ,mencuri atau telah terjumpa mana-mana guni beras kami yang dikatakan telah hilang oleh penjaga gudang makanan di daerah ini supaya mengembalikannya kepada kami. Guni-guni beras itu asalnya milik kami dan kami mempunyai akses dan hak mutlak ke atasnya. Anda tidak berhak mengambil apa-apa yang telah termaktub sebagai hak kami. Kembalikanlah supaya kami dapat menikmati semula keriangan kami pada waktu-waktu sebelum ini. Kiranya kalian masih belum menyedari, biar aku khutbahkan. Kehilangan guni-guni beras itu telah menyebabkan kami perlu membayar harga yang lebih mahal bagi beras-beras yang masih ada bakinya di dalam gudang. Itu kata penjaga gudang. Jadi, kepada mereka yang telah mengambil beras-beras ini secara tidak sah, kembalikanlah kepada kami.Jangan kalian tambah sengsara di jiwa kami. Kembalikan guni beras kami!

Categories: Kritis Sinis

Aku Berlutut Di Kakimu!

June 16, 2008 · 1 Comment

Tahun ini beberapa kali jantungku hampir meletup. Sebelumnya doktor sering berpesan jantung perlu dijaga bagai anak kecil. Perlu sentiasa dibelai. Apabila doktor berpesan sebegitu, aku sedaya upaya memenuhi permintaannya walaupun dengan penuh rungutan kecil kerana rakus seleraku direntap kasar. Kayanya bumi Tuhan ini dengan timbunan makanan di dalamnya tetapi anehnya tidak semua boleh dimakan. Kata doktor, kalau mahu sihat, perut perlu diikat. Anehnya dalam tahun ini, masalah dijantungku bukan disebabkan pemakanan tetapi degup jantungku yang sebelum ini kekal normal diganggu pintas dengan beberapa pengumuman dan situasi dalam negara yang makmur ini. Mula-mula aku dikejutkan dengan tsunami pilihanraya.Kemudian, hilangnya simpanan beras dalam negara biarpun pada awalnya pengawal gudang menyatakan bahawa simpanan beras banyak dan mampu bertahan selama enam bulan. Tidak sampai dua bulan, beras di gudang entah kemana perginya dan apabila ditanya kepada pengawal yang bercakap besar dulu, jawapannya berdolak-dalik.Tergagap-gagap mencari alasan. Agak-agaknya semasa bercakap dahulu, dia terlupa untuk menyemak baki beras yang ada betul-betul dan bukannya percayakan kata-kata rakan pengawalnya yang mungkin penipu juga.Puas aku merawat jantungku supaya degupnya tidak terlalu laju dan sering menyebabkan aku termengah-mengah. Kupujuk hati dengan menyatakan bahawa semua ini akan pulih. Guni beras yang hilang mungkin akan ditemui suatu hari nanti. Baru sahaja jantungku mahu pulih, aku menerima satu lagi kejutan. Kali ini, aku yang sedang makan terbelahak apabila mendengar berita mengejutkan.Penghilang rasa haus dan penyambung kudrat keretaku buat hal lagi. Mahu naik ke paras yang lebih tinggi lagi. Kata pihak yang mengumumkan perkara ini, kenaikan ini sangat diperlukan kerana rasa prihatin pada kebajikan rakyat. Harga minyak perlu dinaikkan untuk membantu rakyat. Berkali-kali aku cuba memahaminya tetapi aku gagal. Harga naik untuk membantu rakyat. Kemudian, pihak yang mengumumkan berita paling besar tahun ini itu tadi memberikan pen jelasan lanjut. Rakyat seperti aku perlu membayar minyak pada harga pasaran supaya wang subsidi yang dikurangkan itu dapat disimpan dan digunakan untuk diagihkan kepada bahagian-bahagian yang lain seperti bahagian pertanian.Beberapa hari kemudian alasan itu menjadi basi apabila orang yang sama membuat pengumuman itu tadi menyatakan bahawa wang yang diharapkan dapat disimpan dan digunakan untuk tujuan yang lain itu pun sebenarnya tidak dapat disimpan.Katanya, wang yang disimpan itu digunakan untuk menampung kenaikan harga minyak. Aduh, mana mana ? Mula-mula kata minyak naik kerana subsidi yang ditarik balik itu akan digunakan untuk bahagian lain dan kemudian diberitahu pula bahawa itu pun tidak kesampaian. Jadi, mahu buat apa sebenarnya ? Serabut betul fikiran aku ! Katanya lagi, harga minyak dalam negara ini jauh lebih murah berbanding negara-negara jiran yang kemudiannya dapat kukesan bahawa negara jiran yang disebut-sebut itu dipilih-pilih rupa-rupanya. Negara Brunei ditinggalkan entah kerana apa. Rakyat seperti aku akan dapat rebat apabila kami menghidupkan cukai jalan. Rebat itulah subsidi kata mereka lagi. Oo…harga minyak naik tapi aku dapat rebat. Bagus juga. Kemudian aku terfikir pula, dapat rebat setahun sekali tapi aku kena isi minyak hari-hari. Rebat tidak dapat membantuku. Jantungku kembali berdegup kencang.Kali ini kepala pula menjadi semakin pening dan pandangan mataku berbinar-binar. Aku tiba-tiba teringat tempat kerjaku agak jauh dari rumah. Minyak perlu diisi setiap hari dan selepas ini jumlah bayarannya tentu sahaja bertambah dengan agak banyak. Rebat pula hanya muncul dengan senyum sinisnya setahun sekali. Nampaknya aku dan yang lain-lainnya bekerja hanya untuk mendapatkan wang bagi mengisi minyak. Kerja penat-penat untuk isi minyak. Perbelanjaan harian macam mana? Barangan makanan, susu anak, bayaran bil-bil dan belanja seharian macam mana ? Aku mana tahu.Bukankah sudah kukatakan tadi aku tengah pening kepala sekarang. Aku memang akan terus pening kerana aku benar-benar tahu bahawa apa sahaja yang ‘naik’ di daerah ini sangat sukar untuk turun kembali. Biarpun aku dan yang lain-lain diperingatkan supaya menerima kenaikan ini dengan pemikiran yang matang tetapi maaf dalam keadaan kepalaku pening dan mual ini aku memang gagal mematangkan diriku. Mana mungkin aku bertindak matang kerana sebelum ini pun pendapatanku hanya cukup-cukup makan sahaja. Sekarang, dengan harga minyak melambung dan sudah pasti diikuti kenaikan harga barangan harian (biarpun berkali-kali diberitahu bahawa harga barangan tidak akan naik tetapi pengalaman mengajarku bahawa bab ini memang tidak boleh dipercayai) mana mungkin aku menjadi matang. Aku tidak mampu menjadi matang sebagaimana yang diminta kerana hakikatnya gajiku tetap begitu dan aku terpaksa menerima tamparan ini pula. Tidak mampu aku menjadi matang! Wahai minyak, turunlah sayang! Kasihanilah kami yang di bawah ini. Bayangkanlah jika gaji kami hanya RM 700 sebulan atau kurang daripada itu dan sebahagian besarnya hanya untuk dirimu .Janganlah begini .Tolonglah ! Aku berlutut di kakimu!

 

 

 

Categories: Kritis Sinis

Sinis Sang Sherpa Di Kaki Sagarmatha

June 16, 2008 · Leave a Comment

Dingin menggigit kaki, menjilati pipi. Terasa menjalar ke seluruh urat nadi, langsung ke sarang otakku. Berdenyut seperti terkena arus elektrik, seakan-akan aliran darah terhenti sebentar. Baju tebal yang kupakai rupa-rupanya tidak mampu menghalang dingin menyelinap merajai seluruh daerah tubuhku, termasuk kawasan-kawasan terpencil yang seharusnya kekal pijar jika berada di negaraku sendiri. Aku tersenyum-senyum sendiri sambil membuat beberapa gerakan bagi memanggil udara panas. Kedua-dua tangan kasarku kugosokkan saling bergandingan saling bertukar tindanan. Kejap-kejap aku memeluk tubuh, kejap-kejap aku melompat-lompat kecil. Debar di dada dan getaran laju jantungku kukira masih belum sirna seawal kakiku melangkah ke perut pesawat yang membawa aku dan rakan-rakanku jauh dari tempat tinggal kami hinggalah sampai ke sini.

    Mataku liar memerhatikan banjaran gunung yang terbentang luas di hadapanku. Nah, salah satu daripada puncak gunung itulah yang akan kami tawan nanti.Puncak yang paling tinggi. Puncak yang menjadi idaman dan igauan seluruh homo sapien sarwajagat ini. Hampir tidak percaya kerana pada hari ini aku sedang berada di kaki Gunung Everest, raja segala gunung. Aku sedang berdiri di hadapan paksi keajaiban setinggi lapan ribu lapan ratus empat puluh lapan meter dari paras laut yakni lebih dua puluh sembilan ribu kaki, melekap di Mahalangur Himal, Himalaya. Kalau mengikut bacaanku di internet, koordinatnya adalah 27.59’ 17” N, 86.55’ 31” E . Orang-orang Nepal memanggilnya Sagarmatha dari kata Sanskrit yang bermaksud dahi langit manakala orang-orang Tibet menggelarnya Chomolangma atau Qomolangma yang memberi erti “ibu alam” . Nama Everest hanya diberikan oleh Jeneral Peninjau British iaitu Sir Andrew Waugh sebagai penghormatan paling dalam buat penguasa sebelumnya iaitu Sir George Everest. Kata mereka yang pernah berjaya menawan puncaknya, berada dan berdiri pada puncak yang paling tinggi ini adalah gumpalan nikmat yang tidak terbanding. Menghirup udara sempit di puncaknya adalah seperti merajai inderaloka.Bangga dan puas. Kata mereka lagi, kejayaan memeluk puncak tertinggi di dunia itu adalah himpunan nikmat yang kekal mewangi selagi belum direputi tanah. Kata-kata penuh semangat seperti inilah yang membakar keazamanku dan rakan-rakanku untuk membuktikan bahawa kami anak Melayu mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa hebat yang lain. Semangat kami untuk membuktikan Melayu Boleh terus diapi-apikan dengan cerita-cerita sejarah kehebatan orang-orang Melayu zaman dahulu yang pernah menjadikan lautan lantai mainan harian mereka. Tuah sendiri pernah berkata bahawa takkan Melayu hilang di dunia.

   Jika dikira dari umurku sepuluh tahun, kini hampir dua windu aku menyimpan hajat untuk menyedut udara dingin di puncak tertinggi ini. Akan kukutip beberapa batu kecilnya supaya dapat kujadikan bukti bahawa aku pernah ke sini dan merakamkan namaku di dalam buku catatan manusia-manusia cekal, hebat, penuh semangat dan keazaman. Aku tersenyum lagi buat kali kedua. Hebat benar kurasakan sekiranya impianku itu tertunai kali ini.  Kulihat kawan-kawanku sedang sibuk membetulkan beg sandang mereka dan beberapa peralatan yang dibawa khas dari negaraku. Semuanya untuk memastikan cita-cita kami tercapai. Latihan tiga purnama yang telah kami lalui adalah bekalan penting yang akan dipraktikkan di sini. Sebutkanlah apa sahaja bentuk gunung, hampir semuanya telah kami daki dengan jayanya semata-mata untuk membiasakan diri di sini. Gunung Himacha Pradesh, Gunung Cho Oyu dan Gunung Kamet di Banjaran Himalaya yang tingginya empat ribu hingga lapan ribu meter dari paras laut itu pun pernah berada di bawah tapak kaki kami. Segala macam latihan menguatkan fizikal dan mental telah kami jalani. Keyakinan kami ketika ini melimpah dan membuak-buak apatah lagi program yang kami lakukan ini telah digembar-gemburkan dengan hebatnya di media-media cetak dan elektronik. Sokongan rakyat datang dari seluruh pelosok negara. Kami dianggap bakal wira negara, bakal mengharumkan negara di mata dunia. Pemimpin belia di negara kami telah merancang sebaik-baiknya aktiviti ini. Kami diminta membuktikan bahawa anak Melayu serba boleh,penuh semangat,pantang undur,penakluk dunia,warisan berani, anak Melayu darahnya merah semangat dan anak Melayu mampu segala. Kata pemimpin belia di tempat kami, soal duit usah difikirkan. Semuanya beres. Kami hanya diminta berlatih memanjat dan mendaki, belajar menguatkan semangat dan memotivasikan diri bahawa kami sebenarnya mempunyai kekuatan dalaman yang tidak ada tolok bandingnya. Aku dipeluk rasa bangga yang menyelimuti rasa takutku. Aku ingin menjadi seperti Nawang Gombu, Junko Tabei, Phantog, Reinhold Messner, Peter Habeler, Laurie Skreslet, Jean Marc Boivin, Ramon Blanco, Hans Kammerlander, Goran Kropp, Edward  Grylls, Tom Whitetaker, Babu Chiri, Temba Tsheri, Erik Weihenmayer, Sherman Bull, Pemba Dorjie, Lakpa Gelu yang begitu kental semangat mereka atau Yuichiro Miura, manusia tertua memeluk puncak Everest pada usia tujuh puluh tahun. Kalau Yuichiro mampu, masakan aku tidak.

    Kumpulan Sherpa yang ditunggu-tunggu masih belum muncul. Kehadiran mereka sangat penting kerana mereka yang paling arif dengan selok-belok kawasan pergunungan ini. Tanpa kelibat mereka, usaha kami akan mengalami kepayahan yang bukan sedikit. Mengikut pengetahuanku Sherpa ini adalah cantuman  perkataan “Sher” yang bermaksud timur dan “pa” yang bermaksud orang. Mereka sebenarnya adalah campuran Tibet dan Nepal kerana kedua-dua negeri ini bersebelahan dan telah berkunjung dari Tibet ke Nepal sekitar 500 tahun yang lalu. Sejarah kehebatan mereka sebagai penunjuk jalan memang telah terbukti dan tidak perlu dipertikaikan. Tenzing Norgay misalnya adalah Sherpa yang menemani Edmund Hillary yang menjadi manusia pertama menakluki puncak ini pada tahun 1953. Aku juga sangat kagum dengan Appa Sherpa yang telah memijak puncak gunung ini sebanyak 17 kali yang seolah-olah menjadikan pendakian serba mencabar ini hanya suatu latihan ringan kepadanya.

    Aku dan sembilan orang kawanku sebenarnya tidak sabar-sabar memulakan langkah pendakian penuh sejarah ini. Cuma kini kami masih perlu menunggu kumpulan Sherpa seramai tiga orang yang telah ditempah khas oleh ketua ekspedisi kami Dr. Raden Kasmungi. Rakan-rakanku mengambil kesempatan yang terluang ini untuk merehatkan diri ekoran keletihan akibat perjalanan yang jauh. Aku sendiri menggunakan kesempatan ini untuk membuat sedikit catatan dalam diari kecil yang memang akan menjadi barang paling berharga buatku sepanjang perjalananku nanti. Aku akan mencatat segalanya mengikut sorot mataku sendiri, tentu sahaja lebih tepat, segar dan akan kupercayai kerana yang mencatatnya nanti adalah inderaku sendiri.

    Saat matahari turun di kaki langit menyingkap kelambu senja, barulah kelibat tiga Sherpa yang kami tunggu-tunggu kelihatan. Ketua kumpulan tersebut segera meminta maaf kepada kami kerana gagal hadir awal disebabkan masalah pengangkutan. Kulihat tidak sedikitpun ada riak kelat di wajah ketua ekpdesisi kami kerana katanya cabaran pasti akan menjadikan perjalanan kami nanti penuh keseronokan. Aku juga tidak terkejut kerana ketua Sherpa memberitahu kami bahawa tidak akan ada perjalanan awal pada senja ini kerana katanya kami perlu menghimpun segenap kekuatan untuk memulakan perjalanan panjang esok hari.

    Malam yang dingin itu aku hangatkan dengan rancak bercerita perihal Everest. Aku sangat teruja mendengar cerita ketua Sherpa kami. Namanya Lakpa Galana, lelaki lewat 40-an dengan kumis nipis dan mata sepet. Kulitnya agak gelap biarpun rakan-rakannya yang lain mempunyai warna kulit yang agak cerah. Garis-garis kasar pada mukanya menyebabkan aku terasa  bahawa lelaki ini sangat kuat bekerja dan tidak takut dengan cuaca. Sesekali aku mengangguk-angguk mendengar lelaki ini terkial-kial berbahasa Inggeris tapi kemudian selepas satu pertiga perbualan kami, aku pula dikejutkan dengan kepetahannya berbahasa Melayu.

    “Panggil saja namaku Lakpa. Aku tidak punya apa-apa gelaran lain. Aku belajar bahasa ini daripada kumpulan pendaki yang pernah kemari sebelum kamu tetapi tidak sempat menghabiskan pendakiannya kerana gagal melawan cuaca di sini. Aku juga sebenarnya hanya Sherpa sambilan kerana kerjaku yang sebenar ialah pensyarah Bahasa Melayu sebuah universiti di Nepal. Tentu kamu tahu bahawa gaji kami tidak sebesar gaji di negaramu. Jadi aku perlu mencari kerja sampingan buat isteri dan anak-anakku meneruskan nafas mereka. Namamu siapa ?” Tanya Lakpa Galana padaku. Aku sempat menguntum senyum ikhlas buatnya sebelum menyambung perbualan kami. Aku sebenarnya terkejut dan kagum dengan kata-kata Lakpa Galana sebentar tadi. Seorang pensyarah menjadi Sherpa sewaktu musim cutinya. Sesuatu yang belum tentu dilakukan oleh pensyarah di tempatku.

    “Nama saya Ahmad Fitri Abdullah. Sedari tadi kami menunggu kehadiran Encik Lakpa. Tidak sabar rasanya memulakan pendakian,” kataku penuh semangat. Namun kata-kataku disambut ketawa kecil dan senyum sinisnya.

Sebentar kemudian, dia memberikanku beberapa soalan yang akhirnya benar-benar menyebabkanku kaget dan meruntuhkan tembok semangatku yang kukira begitu kukuh sebelum ini.

    “Apa sebenarnya niat kamu dan rakan-rakanmu mendaki  Sagarmatha ini ? Apa yang mendorong kalian kemari. Semangat yang berkobar-kobar atau

ingin membuktikan kehebatan kalian ?” Soalnya. Terasa juga peluh dingin di dahiku apabila mendengar soalan-soalannya itu. Keyakinanku tiba-tiba sahaja menjadi goyah.

    “Terus-terang saya katakan kami pada asalnya adalah sekumpulan mat rempit yang selalu menunggang motosikal tanpa tujuan dan mengganggu orang ramai. Kami selalu menghabiskan masa untuk berlumba dan adakalanya perbuatan kami mengundang bahaya pada orang lain. Malah, ada juga kanak-kanak yang pernah kami terlanggar sewaktu kami merempit. Kami dianggap sampah masyarakat. Kemudian, ada kumpulan dan pertubuhan belia di tempat kami yang ingin merubah kehidupan kami. Kami dikumpulkan dan dipilih untuk menyertai ekspedisi ini dan menukar anggapan serong masyarakat terhadap kami. Kami diminta membuktikan bahawa mat rempit juga boleh mengharumkan nama Negara dan menjadi wira,” kataku dengan berhati-hati. Aku kini berhadapan seorang pensyarah dalam wajah Sherpa. Biarpun badannya Sherpa, padaku jiwanya, otaknya tentu sahaja campuran Sherpa dan pensyarah.

    “Niat penaja yang menaja kamu baik tetapi pada pandanganku caranya salah. Niat tidak boleh menghalalkan cara.”

    Malam yang dingin tiba-tiba pula kurasakan agak berbara. Sherpa ini seakan-akan menguji kesabaran dan semangatku. Lebih menakutkan kata-katanya berbaur sinis. “ Kenapa pula salah? Kami hanya mahu membuktikan bahawa bekas sampah masyarakat seperti kami juga mampu berbuat jasa kepada Negara. Kami juga mampu menyumbang sesuatu yang bermakna kepada Negara.” Aku berasa sedikit marah kerana ketika ini semua rakanku telah dibuai mimpi dan tidak dapat membantuku menjelaskan impian besar kami.

    “Dalam bentuk apa jasamu pada Negara? Apakah sekiranya kamu berjaya memacakkan bendera Negara kamu di puncak Sagarmatha, dirimu akan berubah? Negaramu akan maju? Bagaimana ? Adakah selepas berita kejayaanmu memeluk Sagarmatha terpampang di dada televisyen kehidupanmu dan keluargamu akan jadi lebih baik? Aku rasa biarpun kamu berjaya mengibarkan benderamu dan bergambar penuh keriangan di puncak itu, dirimu masih insan yang sama. Cuma, barangkali kamu akan diselimuti rasa megah yang pada akhirnya kamu akan sedar sendiri semua itu adalah warna-warna penipuan terhadap dirimu yang akan cair beberapa ketika selepas kamu kembali ke negaramu. Jangan marah dengan kata-kataku tapi fikir dan dengarkan kata hatimu setulus-tulusnya. Aku juga tidak menghalangmu meneruskan pendakian esok.” Dia merenungku dalam. Redup matanya seolah-olah memintaku terus berbicara dan melawan kata-katanya.

    “ Sekurang-kurangya kami akan dapat mencatat nama sebaris dengan penakluk-penakluk Sagarmatha sebelum ini. Sekurang-kurangnya kami dapat membanggakan negara dan keluarga.”

    Sekali lagi Lakpa Galana tersenyum sinis membuatku bertambah getar. Sesekali dia menggeleng-gelengkan kepada. “Aneh benar caramu dan kawan-kawanmu membanggakan negara dan keluarga. Berapa banyak perbelanjaan ekspedisi kamu ini?”

    “Kalau tidak silap, lebih dari tiga juta ringgit. Kenapa?”

    “Itulah maksudku tadi. Sepatutnya kamu dan kawan-kawanmu merubah cara hidupmu dengan cara yang lebih baik. Dengan jumlah duit yang banyak itu sebenarnya kamu dan kawan-kawanmu mampu membina sebuah kilang dan membeli peralatannya dan kesepuluh orang kamu boleh dilatih menjadi usahawan yang berjaya. Kalau betul caranya, selepas satu tempoh masa, mungkin kesemuanya akan menjadi jutawan. Nah, inilah yang dapat membantu negara dan keluargamu serta dirimu sendiri. Tiga juta yang dibelanjakan hanya untuk memacakkan bendera di Sagarmatha adalah kerja orang gila. Benar-benar membazir. Selepas pulang, kamu akan seperti yang sebelumnya sedangkan wang telah habis dibelanjakan. Kalau setakat mendaki gunung, dan memacakkan bendera,monyet pun mampu melakukannya!” . Kata-kata Lakpa yang terakhir ini merentap alir jantungku.Terasa pedih dan perit. Terlalu sinis tetapi tidak dapat disangkal. Jantungku seakan terhenti denyutnya. Kepalaku berdenyut-denyut. Terasa seakan ada belati tajam menikam tepat ke dadaku. Malam seakan menjadi semakin panjang sedang aku kehilangan segala-gala, semangat, keyakinan dan kekuatanku melayang ke kaki Sagarmatha. Selepas itu aku tidak mampu lagi memejamkan mata untuk tidur kerana kekuatanku untuk tidur juga lenyap bersama-sama semangatku.

    Sewaktu mahu memulakan pendakian ketika sang suria menyingsing subuh, aku mendapat kekuatan baru untuk membuat satu kejutan. Aku membatalkan hasratku mencium Sagarmatha. Ketika ditanya ketua ekspedisi kami alasan tindakanku itu, aku memandang ke puncak Sagarmatha yang diselubungi kabus dan berkata perlahan,”Aku tidak ingin menjadi monyet!”.

Categories: Kritis Sinis

Berikan Aku Ruang !

June 16, 2008 · 1 Comment

Berikan aku ruang, biarpun sedikit,sempit atau terbatas untuk aku meluahkan apa yang tersekat di kerongkong. Berikan aku kesempatan untuk meredakan sedikit tekanan yang sebenarnya adalah adunan dan gumpalan dari rasa payah yang ada dalam diriku bahawa aku tidak boleh hanya melihat sesuatu yang berlaku sebegitu sahaja kerana sampai saat ini aku masih belum berupaya mengawal keserakahan otakku. Apa yang dilihat pasti mahu difikir-fikir tanpa dapat ditahan-tahan. Anehnya, sejak akhir-akhir ini lantaran apa yang sedang melanda negara kita ini, otakku semakin kuat permintaannya, mendesah-desah menunjal-nunjal minta untuk digunakan. Aku tercari-cari tempat untuk melampiaskan keinginan yang meruap membara ini tetapi semakin kucuba ,semakin kulihat denainya menjadi semakin sempit dan berbalam-balam. Tiada gelanggang yang sesuai biarpun sekadar bertarung pendapat kerana permintaan otakku ini sedikit tinggi egonya. Tidak mahu ruang perbincangan, perdebatan, diskusi main-main atau kata orang kampung, “Ah, itu cuma wayangan mereka sahaja, nampak macam beria-ia bertekak dan meluahkan pendapat tetapi hanya mengaburi mata orang lain. Tidak ada apa-apa kesan sebenarnya. Hanya lakonan kecil-kecilan sahaja” Otakku tidak mahu sebegitu. Mahunya ialah, berilah ruang kebebasan untuk menyuarakan apa sahaja sama ada kontra atau tidak terhadap sesuatu isu atau perkara dan selayaknya mendapat jawapan dalam julat yang begitu juga. Katakanlah biarpun pahit. Itu sebenarnya yang dicari. Tulus, telus dan tiada noktah pada kejujuran dan keikhlasan berbicara. Tidak ada kata-kata tipu muslihat, janji palsu laksana mahu mendiamkan anak yang menangis. Hanya lakonan semata-mata. Bukan itu yang dicari. Otakku masih meminta-minta dan pada kesempatan yang terbatas,penuh keredhaan, aku mengambil keputusan yang nekad dan tidak kusangka otakku bersetuju. Aku memilih blog untuk memenuhi keserakahan otakku. Berikan aku kebebasan dan jangan disekat lagi. Anda tahu kenapa ? Aku terlalu teringin berdiri di hujung pelangi !  Wahai angin yang perasa, bawakan aku elusan saktimu!

Categories: Uncategorized

Duniaku

June 15, 2008 · Leave a Comment

Sedikit catatan tentang aku dan duniaku,tentang tugasku dan perjalananku sebagai seorang manusia di mayapada ini. Seadilnya, aku memang insan kerdil di bumi Tuhan.

Adakah kautahu apa misiku yang belum kudakap? Misiku kelihatan bunyinya semacam aneh tetapi itu untuk mereka yang tidak dapat memahami maksudku secara mendalam. Aku ingin kembara hingga ke hujung pelangi ! Berjaya atau tidak itu bukan urusanku kerana aku tidak layak mengambil tugas Tuhan. Urusanku hanya mencanai mimpi. Usah silap tafsiran.Bukan mimpi yang menjadi kembangnya tidur itu. Cuba fahami sedalam-dalamnya maksudku. Kiranya kauberjaya, ayuh kita sama-sama kembara ke hujung pelangi ! Mahu tahu apa ada di situ ? Nantilah, biar kita sampai dahulu .

 

Categories: Duniaku