Daerah kami yang selalu digembar-gemburkan sebagai daerah selamat, aman dan makmur ini tiba-tiba bergempa kembali. Haru-biru sana-sini. Serabut betul kalau semua perkara ini disimpan dan dianalisis dalam kotak fikir. Gumpalan serabut ini sekiranya dibiarkan bersarang dalam kawah hati akan menyebabkan kerosakan tahap ketujuh pada hati homo sapien yang bermukim di sini. Beberapa purnama dulu, serabut karut-marut ini hanyalah gumpalan-gumpalan kecil yang kemudiannya berpintal-pintal membentuk gumpalan serabut yang besar dan pejal. Haru-biru kali ini khabarnya adalah disebabkan oleh si anak muda yang dipanggil Si Palit oleh kebanyakan warga di daerah ini. Si Palit ini muncul secara tiba-tiba sahaja. Namun kemunculannya yang secara tiba-tiba itulah yang menerbitkan tsunami dalam daerah kami ini. Tsunami yang dibawanya lebih hebat daripada tsunami alam yang pernah mengorbankan ratusan nyawa di sini.Ini tsunami yang benar-benar hidup dan rakus.Si Palit telah membuat satu laporan yang membawa aib kepada bekas Penghulu daerah ini.
Mengikut kata Si Tangan Satu, rakanku yang kudung itu, Si Palit ini kononnya telah diperlakukan sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat yang ditelah bumi dulu. Khabarnya perbuatan songsang telah dilakukan oleh bekas Penghulu daerah ini, di satu tempat di atas bukit. Kami sendiri tidak tahu dengan pasti di mana tempat yang tepatnya. Tuduhan itu pula telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh bekas Penghulu daerah ini atas alasan semua tuduhan itu adalah konspirasi pihak kayangan.Maka para penduduk di daerah kami ini pun berbelah pendapat. Ada yang menyatakan bahawa tuduhan Si Palit adalah publisiti murahan yang semata-mata bertujuan mengaibkan bekas Penghulu. Kata mereka lagi, keaiban ini dicipta supaya bekas Penghulu tidak dapat kembali bertanding merebut jawatan lamanya atau bertanding merebut jawatan Betara Sakti di puncak kayangan. Maka kata mereka, ini merupakan konspirasi yang kedua, yakni sama dengan tuduhan beberapa tahun dahulu. Jadi, mereka mengambil keputusan untuk memekakkan telinga dan menyokong bekas Penghulu. Khabarnya, mereka akan berdiri teguh di belakang bekas Penghulu. Kumpulan kedua pula berpendapat, tuduhan ke atas bekas Penghulu adalah tuduhan benar dan bukan direka-reka. Mereka menganggap laporan Si Palit bukan dibuat atas arahan sesiapa tetapi adalah kerana mengumpul kembali maruah dirinya yang terbang selepas peristiwa hitam itu.
Mereka menganggap bahawa bekas Penghulu memang rosak akhlaknya dan tidak dapat diperbaik lagi. Jadi, mereka mengambil keputusan berdiri teguh di belakang cerita dan bayangan Si Palit. Kelompok ketiga kelihatan lebih berakal kerana memilih untuk tidak membuat pilihan antara Si Palit dan bekas Penghulu. Mereka lebih mahu perkara tersebut dilepaskan kepada pihak yang berkuasa untuk menyiasat dan membenarkan pihak timbang tara yang diberi kuasa untuk mengadilinya. Pihak ini beranggapan bahawa kebenaran akan terbongkar akhirnya.Sedaya upaya mereka cuba untuk mempercayai bahawa pihak keadilan yang dulu agak tercemar reputasi dan kebolehpercayaan terhadapnya akan berubah kerana pihak tertinggi di kayangan iaitu Betara Sakti telah memberi sumpah bahawa menara keadilan tidak akan diganggu dan loceng keadilan akan berbunyi setiap kali keadilan dilaksanakan. Satu pihak lagi, yang juga menganggap diri mereka berkecuali telah meminta Si Palit dan bekas Penghulu supaya membuat sunpah laknat atau bermubahalah. Kata mereka, berani kerana benar. Kebanyakan penduduk di daerah ini juga agaknya tertunggu-tunggu bilakah sumpah laknat ini akan diadakan. Jika salah satu pihak tidak mahu berbuat sumpah laknat, adakah secara terang-terang mereka telah bersalah? Sekiranya sumpah laknat ini menerbitkan kesan segera, agaknya eloklah disegerakan.Minta betul-betul kepada Tuhan supaya tunjukkan pembalasannya di atas muka bumi ini lagi. Cuma satu sahaja yang agak sukar dipastikan iaitu adalah kedua-dua pihak akan menerima kekalahan mereka secara ‘budiman’ atau selepas itu terus pula mereka alasan-alasan yang lain.Pihak yang keempat itu tadi juga mencadangkan bahawa penggunaan empat saksi secara Islam juga tidak praktikal kerana kata ketua mereka, lakuan songsang itu berlaku di tempat yang tersembunyi dan hanya ada dua pihak sahaja.Jadi katanya, mencari empat orang saksi tentulah sukar. Katanya, mana ada orang melakukan perbuatan songsang secara terang-terangan di tempat terbuka yang dapat dilihat orang kebanyakan. Atas perkara inilah aku dan beberapa orang rakanku yang terkeliru atau cuba dikelirukan memilih untuk masuk dalam kumpulan kelima. Kami berasa sangat keliru, kalau empat orang saksi itu tidak mahu digunakan, bilakah hukum itu akan sesuai digunakan kerana rasanya tiada satu pun kes-kes songsang seperti sodok-menyodok, sumbang mahram, rogol dan sebagaimana berlaku di tempat yang dapat dilihat oleh saksi. Kami juga keliru, adakah cadangan kelompok keempat itu tadi seolah-olah tidak yakin dengan hukum Al-Quran atau hanyalah kami yang mencipta khilaf? Pada pendapat kami, dalam hal ini pandangan golongan kelima tadi bakal mengundang orang ramai, lebih-lebih lagi bagi mereka yang pemahaman agamanya tidak sehebat kelompok keempat tadi. Lagi satu, sekiranya ada di antara ahli dalam kelompok keempat itu tadi dituduh sebegitu, apakah kaedah penyelesaian yang mereka akan buat? Ikut undang-undang biasa, sumpah laknat atau membawa empat saksi sebagaimana undang-undang Islam? Ah, keliru betul! Semua yang berlaku ini hanya menambah kesengsaraan kami sahaja. Akhirnya, kami golongan kelima mengambil keputusan. Lantaklah apa yang mereka mahu buat. Lebih baik kami mencari kerja sampingan untuk menambah pendapatan. Kami mahu cari duit untuk mengisi minyak kereta! Kalian, bagaimana?






1 response so far ↓
akudanmayapada // July 8, 2008 at 4:44 pm
Fikir-fikirkanlah sedalam-dalamnya segala tindakan yang kita ambil.Iman itu tongkat kewarasan.